Search This Blog

Tuesday 30 January 2018

Best ke Breakfast di Pullman Hotel and Resorts Putrajaya Lakeside

Sarapan di B's restaurant bermula pada pukul 7.00 pagi sehingga 10.30 pagi. Tidak seperti dinner, waktu sarapan di B's restaurant boleh dikatakan agak ramai dan ruangan makan penuh. Mungkin kerana sarapan termasuk dalam pakej harga bilik. Jadi, suasana memang meriah lebih-lebih lagi pada hari minggu. 

Di bahagian belakang, anda boleh melihat buah-buahan, keju, bijirin, susu, pelbagai rasa yogurt seperti strawberry, natural dan apricot dan salad dihidangkan seperti lettuce, lobak merah, lada benggala, tomato, kobis putih dan ungu, timun, ham ayam belanda, ham ayam, daging salai dan sos salad seperti sos italian vinaigrettehoney mayonnaise dressing, shallot vinaigrette, thousand island dressing, cherry tomatoes in oil dan sos tartar.
Selection of cheese at Pullman Hotel Putrajaya


 Mesin kopi dan air panas untuk membuat air teh Dilmah merupakan kegemaran saya. Sekali lagi, saya meminum beberapa cawan kopi dan teh ketika sarapan. Jus buahan-buahan juga disediakan bagi pelanggan yang tidak menggemari minuman berkafein. Aneka roti dan pastri seperti donut, croissant dan muffin turut dihidangkan di bahagian depan. Toaster disediakan untuk anda membakar roti empat segi. Menariknya pelbagai sapuan seperti nutella, orange marmalade, strawberry, mentega, apricot dan kaya disediakan. 

Antara pilihan roti dan pastri di Pullman Hotel Putrajaya
  
Hidangan telur seperti omelette, sunny side dan scramble boleh diminta dan chef akan tolong buatkan. Untuk omelette kita boleh request untuk menggunakan bahan-bahan tertentu jika kita tak minat beberapa bahan yang disediakan. Telur rebus dan telur putih yang istim memang dah sedia dimasak dan boleh terus diambil. 


Nasi goreng jagung, mee goreng, sosej, daging lembu bakar, dim sum siew mai, bebola, pau, masakan ikan, waffle, popia, bubur, makanan bersup dan pelbagai makanan lain turut dihidangkan. Namun, secara jujurnya saya merasakan makanan sarapan di sini perlu ditambahbaik dan diperbaiki untuk lebih memberi kepuasan terutamanya bagi  memenuhi harapan pelanggan. Harga sarapan jika tidak termasuk pakej adalah RM77.00 untuk dewasa dan RM38.50 untuk kanak-kanak. Untuk tempahan pakej bilik dan breakfast boleh melalui http://invol.co/clhW6 (Trivago),  http://invol.co/clhW7 (Agoda) atau melalui email reservation@pullmanputrajaya.com.
Namun, saya sangat berpuas hati dengan keindahan dan ketenangan di Pullman Hotel and Resorts Putrajaya dan Lakeside. Suasana di luar restoran subhanallah memang kelihatan cantik. Ia juga mempunyai bangunan-bangunan yang tersergam indah dan mempunyai keunikan budaya tersendiri.

Keindahan di luar B's restoran Pullman Hotel Putrajaya


Sunday 28 January 2018

Dessert Table yang Awesome Giler di Pullman Putrajaya Lakeside


Jika saya tak silap, makan malam di B's restaurant bermula pada pukul 6.30 petang sehingga 10.00 malam. Selepas sahaja menunaikan solat maghrib, kami terus ke B's restaurant yang terletak di bangunan Bunga Tanjung. Sewaktu kami datang, hanya ada beberapa keluarga sahaja yang makan di situ. Kawasan B's restaurant terasa agak luas terutamanya apabila tidak dipenuhi ramai orang. Anda boleh menggunakan kawasan dalam dan luar B's restaurant. Kawasan dalam mempunyai penghawa dingin manakala kawasan luar anda boleh melihat pemandangan sekeliling.   

Ruang makan di B's restoran Pullman Hotel Putrajaya

Anda akan dihidangkan dengan air masak terlebih dahulu sebaik sahaja anda duduk di meja makan. Yang menariknya, dessert table yang terletak di bahagian belakang kelihatan sangat menarik dan terdiri daripada pelbagai manisan yang menyelerakan iaitu chocolate moist banana cake, strawberry chill cheese cake, blackcurrant jelly, red velvet brownies, kole kacang, kuih keria, mango pudding, orange financier, mango fillo, cupcake, cheese tart, pavlova dan pelbagai lagi.

Pilihan pastri untuk makan malam di Pullman Hotel Putrajaya


Terdapat juga bahagian buah-buahan seperti buah naga, betik, epal hijau, tembikai, oren dan jambu batu. Chocolate fountain, marshmallow, beraneka jenis keju, puding roti, bubur kacang, aiskrim pelbagai rasa, ais batu campur (ABC) dan mesin air kopi seperti cappuccino, caffe latte, espresso, white coffee dan black coffee. Anda juga boleh meminum teh dengan mengambil air panas dan uncang teh berjenama Dilmah yang mempunyai pelbagai rasa seperti halia, peppermint, jasmine, earl grey tea dan english breakfast. Malam tu memang saya seronok minum beberapa cawan kopi dan teh.

 
Untuk makanan berat, ada bahagian western di mana anda boleh memilih jenis pasta seperti macaroni, spageti, fettuccine dan spiral. Anda boleh memilih beberapa bahan yang lain sendiri seperti udang, kepah, ayam dan sayuran untuk dimasak carbonara, sos tomato atau aglio olio. Masakan india juga terdapat di situ seperti roti naan, kari dal dan aloo baigan iaitu sejenis masakan kentang dan terung. Mee goreng urut dipenuhi dengan udang, masakan udang masam manis, masakan ayam stim, masakan tofu telur, kepah bersos krim putih, ayam bakar dengan sos bbq dan kambing bakar turut dihidangkan. Beraneka jenis roti dan mentega dihidangkan di samping sup labu berkrim dan sup ayam. 

Bahagian roti yang dipamerkan di B's restoran

Selain itu, terdapat bahagian salad yang menarik yang menghidangkan orange salad, roasted chicken, roasted chicken salad, mixed mescuun salad, lettuce dan pelbagai lagi.


Itu sahaja review saya mengenai dinner di B's restaurant. Untuk makluman, harga dinner di B's restaurant adalah RM149 untuk dewasa dan RM74.50 untuk kanak-kanak. 

 






Friday 26 January 2018

Best ke Pullman Hotels and Resorts Putrajaya Lakeside


Pada 20 - 21 Januari yang lalu, saya telah bercuti ke Pullman Hotels and Resorts Putrajaya Lakeside bersama ahli keluarga. Apartment 2 bilik bersama sarapan telah ditempah secara terus di laman web Pullman Hotels and Resorts. Kebaikan yang diperolehi apabila kita menempah secara terus adalah point dapat dikumpulkan dan dapat ditebus apabila sudah mencapai point-point tertentu. Tempahan boleh dibuat di reservation@pullmanputrajaya.com. Urusan melalui email sangat mudah dan mendapat respons yang agak cepat. Ataupun anda boleh membuat tempahan melalui http://invol.co/clhW4 iaitu di Trivago  atau di http://invol.co/clhW5 iaitu di Agoda untuk mendapatkan diskaun dan promosi terkini.


Lokasi Pullman Hotels and Resorts Putrajaya Lakeside mudah dicari sebenarnya terutamanya jika anda menggunakan Waze. Pada mulanya saya terpegun melihat bangunan-bangunan Pullman hotel yang unik dan penuh dengan tradisi. Masuk sahaja ke kawasan parking, anda boleh menurunkan barang-barang berat anda di kawasan bulatan tersebut. Anda akan dibantu oleh staf hotel. Setelah menurunkan barang-barang, anda terus bergerak ke kawasan parking setelah mengambil tiket parking. Walaupun saya check in pada hari minggu, tiada masalah susah mendapat parking. Anda akan berjalan dari kawasan parking sehingga ke lobi hotel. Urusan mendaftar dilakukan disitu dan tidak mengambil masa yang agak lama. Terdapat beberapa kaunter pendaftaran check in dan check out. Dukacita dimaklumkan bahawa apartment 2 bilik yang ditempah atas nama kami terdapat beberapa isu dan masih dihousekeeping. Oleh itu, mereka memberikan welcome drinks terlebih dahulu di China Bar and Lounge sementara bilik kami disiapkan. Jus buahan-buahan seperti oren, nenas, mangga dan juga kopi dan teh panas boleh didapati disitu.

China Bar Lounge di Pullman Hotel Putrajaya
Suasana di China Bar and Lounge
 
Sementara menunggu, kami juga membuat tempahan untuk makan malam di B's restaurant yang terletak di bangunan atau blok Bunga Tanjung. Sebenarnya, staf hotel juga mengatakan boleh sahaja walk-in tanpa membuat tempahan. 

B's restoran Pullman Hotel Putrajaya
Anda boleh menaiki tangga atau lif untuk ke B's restaurant

Kami dimaklumkan bahawa bilik kami telahpun siap selepas beberapa minit. Bilik kami terletak di Lotus Wing di Tingkat 3. Antara kemudahan yang disediakan adalah mesin kopi, pemanas air, microwave, peti sejuk, dapur memasak dan perkakas dapur seperti cawan, gelas, sudu, mangkuk, pinggan, sudip, papan pemotong, kuali dan periuk serta sinki. Terdapat 3 tandas jika anda memilih apartment 2 bilik di Pullman Putrajaya iaitu 1 tandas ringkas bersebelahan dengan ruang pantri dan 2 tandas bersama tempat mandi di ruang bilik masing-masing.


Katil yang disediakan adalah 1 katil bersaiz king dan 2 katil bersaiz single. Sejadah dan tempat seterika juga disediakan. Tandas dan tempat mandi (bilik air) adalah sangat besar. Namun, tiada bathtub disediakan. Saya pasti jika bathtub disediakan, pelanggan akan lebih berpuas hati. Yang tak bestnya, pintu yang menutup bilik air dan tandas daripada ruangan bilik adalah sejenis cermin yang dislide dan sebenarnya agak kurang privasi kerana ia tidak dapat ditutup dengan sempurna. Bilik 1 dan bilik 2 dibahagikan oleh satu ruang tamu yang terdapat televisyen, kerusi, meja dan sofa. Setiap bilik mempunyai televisyen, sofa dan meja kecil serta ruangan kerja sendiri. Ruangan apartment 2 bilik adalah sangat besar dan memuaskan lebih-lebih lagi kemudahan internet disitu laju. Cuma terdapat beberapa kekurangan yang boleh diubah untuk menjadikan prestasi hotel lebih baik. 

Apartment 2 bilik di Pullman Hotel Putrajaya
 
 
Anda juga dapat menikmati kemudahan kolam renang infiniti yang terletak berhadapan dengan tasik dan kolam renang yang lebih privasi yang terletak di Lotus Wing iaitu di Tingkat 2. Kolam renang yang terletak di Tingkat 2 menjadi pilihan kami kerana terdapat tandas untuk menukar pakaian, lebih senyap dan sunyi kerana tidak ramai orang, terdapat kolam mandi untuk kanak-kanak dan tempat duduk yang selesa. Setiap bilik dibenarkan mengambil 2 helai tuala sahaja dan perlu mengisi borang di pondok keselamatan. Walaupun tiada lifeguard bertugas di situ tapi pelampung-pelampung kecemasan turut disediakan. Kemudahan gim di tingkat 2 juga adalah satu keistimewaan kemudahan yang boleh digunakan. Terdapat peralatan threadmill, leg press, calf press, multi lat dan pelbagai lagi untuk tujuan senaman. Gim dilengkapi dengan televisyen, lagu, napkin sejuk, air minum dan tuala. Sauna bersebelahan dengan gim turut disediakan untuk lelaki dan perempuan. Kemudahan yang sangat lengkap dengan tandas, tempat mandi, tempat duduk, almari simpanan barang, tuala air minuman dan kelengkapan sabun dan shampoo.       
Swimming pool di Pullman Hotel Putrajaya
 Fasiliti gim di Pullman Hotel Putrajaya
 Kawasan gim di Pullman Hotel Putrajaya

Harga parking disini adalah RM15.00 untuk sehari dan RM10 untuk setiap kali masuk. Pullman Hotel and Resorts Putrajaya Lakeside juga menawarkan pakej late check-out sehingga pada pukul 4.00 petang namun bayaran sebanyak RM150.00 dikenakan. Kebiasaannya, check-in bermula pada pukul 2.00 petang dan check-out pada pukul 11.00 pagi.



 

Friday 19 January 2018

Review Dolly Dim Sum menu


Beberapa hari yang lepas, saya makan di Dolly Dim Sum yang terletak di NU Sentral. Dolly Dim Sum ini dibuka seawal 11.00 pagi. Waktu tu saya adalah pelanggan kedua yang masuk ke restoran ini. Selang 20 - 30 minit berlalu, semakin ramai memenuhi ruang makan yang cantik dihias dan suasana semakin meriah. Banyak pilihan makanan yang disteam seperti egg custard bun, beef ball, steamed radish cake, pilihan makanan yang digoreng seperti salad prawn dumpling, fried chicken wings, golden fish cracker dan pilihan makanan yang dibakar seperti salted fish bun dan baked mini egg tart. Terdapat juga 4 jenis cheong fun dan 3 jenis bubur. Namun, yang tak bestnya adalah kurang ataupun boleh dikatakan tiada ilustrasi gambar makanan pada menu.

Pilihan saya adalah Ju Hua, Loh Mai Gai, Salted Fish Bun dan Royal Golden Fried Rice.

Ju Hua adalah sejenis chinese tea yang dibuat daripada bunga chrysanthemum. Satu teko berharga RM4.30. Teko bersaiz sederhana dan boleh diminum  sebanyak 5 - 6 cawan kecil. Memang seronok semacam guna teko tu sebab cantik dengan corak flora. Mula-mula minum memang rasa segar dan rasa sihat sebab minum air teh bunga. Tapi semasa minum satu dua cawan terakhir, rasa teh bunga tu kuat dan pekat. Mungkin sebab dah lama terendam. 

Ju Hua di Dolly Dim Sum NU Sentral
Cantik kan teko ni ?

Makanan yang mula-mula sampai diatas meja adalah Loh Mai Gai. Sejenis nasi yang melekat dan dimasak dengan sos soya untuk rasa masin. Harga dia saya tak berapa ingat. Mungkin dalam RM9.30. Loh Mai Gai dihidangkan juga dengan satu keping abalone, satu biji cendawan butang dan seketul dua ayam. 

Loh Mai Gai di Dolly Dim Sum

Seterusnya, Salted Fish Bun. 3 ketul salted fish bun tu berharga RM9.30. Saya sangat suka roti ni sebab roti dia sangat lembut lebih-lebih lagi bila dimakan panas. 3 ketul tu macam tak cukup sebenarnya. Dekat dalam roti ada satu gumpalan isi so kena hati-hati sebab dia lagi panas daripada bahagian luar (roti). Rasanya masin tapi tak terlalu masin. Still boleh diterima dan dimakan.

Salted Fish Bun di Dolly Dim Sum NU Sentral yang lembut
Nampak menarik kan?

Akhir sekali adalah Royal Golden Fried Rice. Sejujurnya rasanya seperti nasi goreng cina biasa. Nasi goreng ini ada telur, daun bawang, 4 ekor udang dan telur ikan (roe). Bila dimakan dengan cili sos yang dibagi pada mula-mula sampai, rasa macam nasi pattaya. Yang uniknya adalah telur ikan tu lah. Bila makan ada rasa crunchy-crunchy sedikit. Harga untuk satu pinggan adalah RM20 ++. Nasinya tak terlalu banyak tapi boleh dikongsi dua tiga orang kalau ada order beberapa makanan sampingan yang lain.       

Walaupun harganya macam tak berbaloi, sekali sekala mencuba apa salahnya kan.

Restoran ini juga ada terletak di Pavillion dan Avenue K. Itu sahaja review saya tentang Dolly Dim Sum. Terima kasih kerana membaca.

Monday 15 January 2018

Resepi Lasagna yang Mudah dan Sedap


Sebenarnya, dah lama teringin nak masak dan buat lasagna dengan tenaga sendiri. Cuma kekangan masa dan kadang-kadang tak cukup bahan masakan. At the end, memang bertekad nak buat juga so memang terus ambil bahan-bahan yang diperlukan apabila pergi pasaraya. Resepi ini sangat mudah dan hasilnya sangat memuaskan. Pada saya, jimat sebenarnya bila buat sendiri terutamanya bila ramai yang nak makan instead of untuk seorang makan. Bahan-bahannya pun mudah didapati. 

Kulit Lasagna
Saya menggunakan jenama San Remo. Terdapat dua saiz kulit lasagna ini iaitu kecil dan besar. Saya pilih kulit lasagna yang bersaiz besar. Walaupun di packaging ditulis dengan Oven Ready Lasagna Sheets - No Pre-Cooking Required saya tetap merebus kulit lasagna ini sekejap sehingga ia boleh dibengkokkan. Namun, jangan rebus sehingga masak. Ada sesetengah yang rendam dengan air panas. Terpulang kepada kesenangan anda.

Bahan Sos Merah
2 biji sederhana bawang besar - potong dadu
6 ulas bawang putih - potong dadu
4 biji cili padi - optional (saya letak sebab nak kurangkan rasa masam)
2 sudu kecil daun kucai - optional (saya letak untuk bagi bau tapi sedikit saja)
2 biji sederhana lobak Merah/Carrot- potong dadu 
1 tin cendawan - saya gunakan straw mushroom dalam tin. Jenis lain pun boleh digunakan
Isi ayam - boleh gunakan isi daging untuk rasa yang lebih enak
1 tin sos spageti -  saya gunakan Kimball. Prego juga boleh digunakan
1 tin tomato puree - saya gunakan jenama Kimball juga. 
Sebiji tomato - optional 
Garam
Mixed herbs
Lada hitam

Panaskan minyak dan masukkan bawang besar, bawang putih, lada hitam, cili padi dan daun kucai. Goreng sehingga naik bau. Masukkan isi ayam. Apabila sudah setengah masak, boleh masukkan sayuran seperti lobak merah, tomato dan cendawan. Jika minat capsicum boleh masukkan juga. Setelah beberapa minit, masukkan tomato puree dan sos spageti dan gaul rata. Masukkan air untuk kurangkan kepekatan sos tersebut. Akhir sekali masukkan sedikit garam mengikut kesesuaian dan mixed herbs serta lada hitam. Mixed herbs selalu saya akan beli di kedai bakeri kerana harganya lebih murah. Tunggu sos tersebut mendidih dan kemudian tutup api


Bahan Sos Putih
1 kotak susu full cream - saya gunakan Dutch Lady
4 sudu kecil mentega/butter
2 sudu tepung gandum
Garam
Lada hitam
Cheese - saya gunakan Mozarella

Mula-mula cairkan mentega. Masukkan tepung gandum dan gaul rata. Selepas itu, masukkan susu  dan pastikan ia sentiasa digaul. Masukkan cheese, garam dan lada hitam. Setelah beberapa minit, sos akan menjadi sedikit pekat. Sentiasa gaul untuk mengelakkan sos menjadi ketul-ketul. Selepas sahaja sos mendidih, tutup api. 

Susun kulit lasagna di lapisan pertama dan letakkan sos merah kemudian sos putih. Ulangi langkah ini sehingga bekas yang digunakan penuh. Namun, pastikan lapisan terakhir adalah sos putih. Taburkan cheese di atas permukaan sos putih tersebut. Tip untuk menghasilkan lasagna yang best adalah letakkan sos putih dan sos merah banyak sikit untuk mengelakkan lasagna menjadi kering. Selepas itu, letakkan ke dalam oven di suhu 180C selama 30 -45 minit bergantung kepada saiz lasagna tersebut.


Selamat mencuba!!

Sunday 14 January 2018

Review Homst Synergy Chinese Muslim Cuisine

Salah satu cawangan Homst Synergy yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam menyajikan masakan Cina Muslim. Kini, masakan tersebut semakin mendapat tempat dan menjadi pilihan sesetengah pihak kerana keunikan rasanya dan juga tinggi penerimaan terhadap kepelbagaian budaya.

Setibanya saya di restoran tersebut, masih terdapat banyak meja kosong terutamanya di bahagian luar. Namun setelah beberapa minit berlalu, ruang makan di dalam dan di luar semakin penuh. Selain daripada nasi putih, antara lauk pilihan saya adalah seperti berikut:

Steam Tofu di Chinese Muslim restoran di Shah Alam
Steamed Tofu - RM10.00

Butter chicken di Homst synergy chinese muslim restoran
Wet Buttered Chicken (Medium) - RM24.00

Crab meat shark fin soup di chinese muslim restoran di Shah Alam
Crab Meat Shark Fin Soup (Medium) - RM32.00 

Smoke Duck di Shah alam
Smoke Duck With Mantau - RM30.00

Selain itu, saya turut memesan Steamed Lotus Leave Rice (RM10.80) dan Steamed Spicy Chicken Feet (RM9.80). Air yang diminum adalah teh ais, sirap bandung cincau, teh panas dan cincau ais.

Crab Meat Shark Fin Soup yang bersaiz medium sesuai untuk dimakan oleh 4 - 5 orang. Mangkuk kecil dan sudu akan diberikan sekali untuk menghirup sup tersebut. Kuahnya agak pekat dan menyegarkan. Manakala Smoke Duck With Mantau pula, isi itik lembut dan tidak liat. Mantau adalah sejenis roti yang mempunyai sedikit rasa manis dan lembut. Steamed Lotus Leave Rice adalah hidangan nasi dicampurkn dengan sos soya yang dibalut dengan daun teratai dan dihidangkan dengan sedikit daging ayam dan kuning telur masin. Steamed Spicy Chicken adalah hidangan kaki ayam yang dimasak dengan sos soya. Saiz kaki ayam agak besar dan rasanya sedikit masin jika tidak dimakan dengan nasi. Namun, hidangan ini tidak memberi rasa pedas walaupun nama masakannya spicy. Uniknya masakan ini adalah kaki ayam tersebut tidak liat, lembut dan isi mudah ditarik daripada tulangnya. Secara keseluruhannya, ia memuaskan walaupun terdapat sesetengah makanan yang harganya agak mahal.
 

Tuesday 9 January 2018

Percutian ke Cameron Highlands


Cameron Highland merupakan antara tempat percutian dalam negara yang menjadi favourite saya kerana pemandangan ladang teh yang cantik, suhunya yang sejuk dan suasana yang menenangkan.
Perjalanan dari Kuala Lumpur dimulakan pada tengahari.

Cameron Valley
Destinasi pertama iaitu Cameron Valley

Cameron Valley merupakan tempat persinggahan yang pertama selepas sahaja melalui jalan yang bengkang bengkok. Yang pastinya, setiap kali ke Cameron Highlands, kena struggle dengan rasa pening dan loya

Cameron Valley menyediakan kemudahan tandas kepada pengunjung. Walaupun mempunyai tempat parking yang agak terhad terutamanya apabila musim kemuncak, ia adalah tempat yang sesuai untuk berehat dan melihat kehijauan ladang daun-daun teh sambil menikmati aroma teh dan manisan seperti kek dan scone. Antara pilihan kek yang dijual adalah mango cheese cake, chocolate indulgence, blueberry cheese cake, american chocolate cake, tiramisu dan banyak lagi. 
 
Scone di Cameron Valley, Cameron Highlands
 1 set scone dengan whipped cream, butter dan strawberry jam  

Selepas itu, saya mengunjungi kedai yang menjual pelbagai jenis rasa teh yang terletak di sebelah tempat makan membuatkan saya rambang mata untuk memilih. Namun, earl grey tea merupakan pilihan utama saya. Beberapa kotak teh tersebut telah dibeli dengan harapan stok yang dibeli bertahan sehingga ke percutian seterusnya. 

Pelbagai jenis dan perisa teh dijual di Cameron Valley
Pelbagai jenis dan rasa teh boleh didapati di sini

Kemudiannya, perjalanan diteruskan ke tempat penginapan 2 hari 1 malam iaitu di Golden Hill  yang berdekatan dengan Pasar Malam Brinchang kerana telah melepasi beberapa jam masa check-in. Fokus saya untuk percutian ke Cameron Highlands pada kali ini adalah untuk mengunjungi pasar malam tersebut setelah beberapa kali hajat tidak tertunai. Yang menariknya, saya hanya perlu menuruni lif rumah yang disewa dan terus berjalan kaki ke tapak pasar malam. Tiada masalah mencari parking dan kesesakan lalu lintas.

Penginapan di Golden Hill yang berhampiran Pasar Malam Brinchang
Ruang tamu rumah yang disewa yang selesa

Pasar Malam Brinchang Cameron Highland
Tapak pasar malam dari bahagian atas  

Saya telah mengunjungi pasar malam sebanyak dua kali iaitu pada waktu petang dan pada malamnya. Macam-macam sayur dijual di dalam paket. Strawberi yang segar dijual dengan harga yang pelbagai mengikut saiz dan kuantiti. Di sini juga mudah mencari makanan panas seperti pizza, sayuran dan seafood goreng tepung, mee goreng, nasi lemak, makanan bersup, apam balik, ubi madu kukus dan banyak lagi. Jagung yang masih mentah dan yang sudah siap dimasak juga dijual di sini.

Makanan bergoreng turut dijual disini

Strawberi di Cameron Highlands
Strawberi dan coklat cair

Sayuran segar di Pasar Malam Brinchang Cameron Highlands
Sayuran seperti lettuce, labu, kobis dan terung

Selain itu, honey stick, sarang madu lebah dan pokok kaktus yang bersaiz kecil dan comel ada dijual. Jualan pakaian-pakaian, bantal, keychain dan fridge magnet dijual dengan harga yang mampu milik untuk pengunjung yang ingin menjadikan kenangan.

Sebenarnya, terdapat banyak tarikan di Cameron Highlands. Namun, saya tidak nyatakan di sini kerana fokus utama percutian saya kali ini adalah Pasar Malam Brinchang. Namun, apa yang paling penting adalah menyenaraikan tempat-tempat yang ingin dikunjungi secara bersesuaian mengikut keadaan laluan trafik. Jalan yang berbukit mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke sesuatu destinasi. Jika trafik sesak, masa lebih banyak dihabiskan di atas jalan raya dan mungkin sukar untuk mendapatkan parking kereta. Oleh itu, rancang percutian anda dengan baik.










Short Staycation di The Banjaran Hotspring Retreats Ipoh I Garden Villa Staycation (PART 3)

Fitness centre . Masa saya pergi tak ada orang pun dan kawasan keliling fitness centre ni agak sunyi Yoga pavilion . Bersebelahan dengan ka...