Al Rawsha mempunyai dua cawangan iaitu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan Seksyen 7, Shah Alam. Al Rawsha menjual makanan Timur Tengah.
Kawasan meletak kenderaan yang luas untuk pelanggan Al Rawsha. Pokok-pokok kurma mengelilingi kawasan pagar Al Rawsha membuatkan anda seperti berada di Timur Tengah.
Bangunan Al Rawsha yang unik dan tersergam indah. Jika tidak silap, bangunan ini mempunyai 2 tingkat.
Pelbagai manisan yang dijual di Al Rawsha. Anda akan melihat manisan ini sebaik sahaja anda masuk ke dalam bangunan Al Rawsha. Ini merupakan strategi terbaik bagi menarik minat pelanggan untuk merasainya. Antara manisan yang dijual adalah milk pudding, custard, cream caramel, brownies dan kek seperti kek cheese, tiramisu, mousse dan lain-lain.
Ruang makan yang luas dan sentiasa dipenuhi orang ramai. Dekorasi yang agak ringkas walaupun dinding dan siling mempunyai ukiran bercirikan Timur Tengah.
Anda akan ditempatkan di meja mengikut bilangan ahli kumpulan anda (keluarga, rakan-rakan). Anda akan diberi menu sepertimana di kedai-kedai yang biasa anda pergi.
Lamb Madghut for 4 pax (RM70). Daging kambing yang tersangat lembut dan mudah terpisah dan dicabutkan dari tulang. Rempah yang digunakan dalam nasi dan daging kambing tidak terlalu kuat namun bau kambing tidak juga terlalu kuat dan boleh diterima. Kuah dan sambal diberikan kepada setiap seorang (mengikut pax dalam menu). Kuah dan sambal yang masam diberikan untuk mengelakkan rasa muak. Menariknya, Al Rawsha memberikan kuah dan sambal yang mencukupi.
Hummus with lamb (RM16). Hummus dibuat daripada kacang kuda yang telah dilenyek dan dihidangkan bersama daging kambing dan minyak zaitun. Jika anda memesan menu ini, anda akan diberi sekeping roti yang sangat lembut dan ditabur dengan bijan hitam di atasnya. Roti ini digalakkan untuk dimakan semasa panas. Namun, roti ini masih lembut dan sedap walaupun telah sejuk. Sedikit hirisan lobak merah dan cili hijau turut dihidangkan.
Air yogurt mangga yang sangat pekat dan manis. Oleh itu, digalakkan untuk menambah sendiri air yogurt mangga ini dengan air biasa untuk mengurangkan manis. Rasa yang sangat menyegarkan. 1 jag sesuai untuk 4-5 orang.
Khashkash kebab (RM22). Menu ini menghidangkan 2 kepingan kebab bersama dengan kentang goreng, sayuran seperti lobak merah, yogurt, kepingan roti yang disapu dengan sos bawang putih. Rasa kepingan kebab agak kering dan kurang juicy.